Tuesday 8 January 2013

Mencari Madu disebalik Hempedu : KERANA-MU AKU MELANGKAH


KERANA-MU AKU MELANGKAH

Ya Allah, andai bekerja lebih baik buatku,maka permudahkanlah urusanku untuk mendapat pekerjaan, Tetapi sekiranya menyambung pelajaran itu lebih baik, maka tunjukkanlah jalannya. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Mengatahui yang terbaik buat hambaMu ini.amin”. Rintihan seorang hamba seusai solat maghrib, entah mengapa malam tersebut hati ini sayu mengenangkan nasib yang masih tidak ketahuan.

Malam tersebut merupakan malam kuliah bulanan yang disampaikan oleh ustaz Azhar idrus. Seorang penceramah yang tegar berdialek terengganu tetapi kesederhanaannya dan keluasan bidang ilmunya menarik minat anak muda untuk turun membanjiri kuliah bulanan beliau di masjid-masjid.Aku juga terkena tempias aura ustaz...

Terasa terisi jiwa setelah mendengar ceramah dan nasihat daripada ustaz. Memang manusia tidak terlepas daripada memerlukan nasihat dan teguran. Setiba di rumah, menjadi rutin untuk membuka komputer. Hajatnya ingin melayari internet, tetapi niat tersebut terpesong dek keseronokkan bermain game National Basketball Association 2006 (NBA) sehingga jam 12.00 malam.

Tiba-tiba hati kecil tergerak untuk menyemak keputusan pemohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UITM). Ya Allah!! Aku dipilih untuk ditemuduga bagi kursus Sarjana Muda Kewartawanan. Ku lihat tarikhnya,Ya Rabb!! Esok pagi!!.
Tuhan, aku tidak membuat sebarang persiapan. Sudah lama aku tidak membaca buku-buku perihan media dan kewartawanan. Bagaimana aku akan berhadapan dengan sesi temuduga esok. Teringat akan ayat 59 surah al ankabut”(Iaitu) mereka yang sabar dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya”.Ya Allah,aku bertawakal dan berserah diri bulat-bulat kepadaMu.Andai itu takdirnya, aku redha. Kerana-Mu aku melangkah!!

No comments:

Post a Comment