Monday 12 November 2012

Balkanisasi Siber: Pembukaan tanpa penghujung


Balkanisasi atau melalui kata akarnya ‘balkan’, merujuk kepada satu fenomena kebebasan negara-negara Balkan, khususnya Yugoslavia, yang membawa kesan buruk terhadap hubungan antarabangsa,  kerana kemerdekaan menjadikan mereka terpisah dan ganas sesama negara jiran. ‘Balkanisasi’ secara literalnya ialah konsep geopolitik yang membawa erti proses pemisahan negara-negara Balkan.  Balkanisai boleh membawa kepada sikap taksub yang melampau. Fenomena inilah yang secara kasarnya diistilahkan sebagai ‘balkanisasi’.

Atas nama dan lingkungan demokrasi, keterbukaan terhadap media cetak lebih jelas kelihatan jika dibandingkan ketika zaman Tun Dr Mahathir ini bermakna perubahan ketara sejak kira-kira 21 tahun dahulu sebelum Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kerusi Perdana Menteri.

Pelbagai akhbar politik seperti Harakah, Suara Keadilan, Siasah, Buletin Rakyat, Era Baru dan banyak lagi tabloid picisan yang lain, berada di pasaran tanpa sekatan, meskipun ada undang-undang yang mengehadkan penjualan akhbar politik tertentu kepada ahli-ahlinya sahaja. Situasi keterbukaan sedemikian disokong pula oleh bahan-bahan politik daripada Internet. Malah lebih membingungkan lagi, melalui sokongan sesawang web (WWW) pengguna boleh memilih (to customise). Sifat ini tiada pada media tradisional. Misalnya apabila kita membeli surat khabar, apa yang boleh dibaca ialah apa yang disiarkan dalam akhbar itu sahaja. Selain daripadanya tidak akan kita peroleh. Hal yang sama juga terlihat pada radio, pada TV atau apa jua media tradisional yang wujud selama ini, namun tidak pada sesawang web.

Demokrasi hendaklah diterima dengan cara membuka minda pengamal kepada bahan maklumat daripada pelbagai pihak, terutamanya dua pihak yang berkonflik, supaya pertimbangan wajar boleh dibuat. Jika khalayak hanya merujuk kepada Harakah atau Suara Keadilan atau Berita Harian dan Utusan semata-mata, maka besar kemungkinan akan berlaku ketaksuban yang hanya menerima apa saja yang dipaparkan oleh media berkenaan tanpa mahu lagi membuka minda untuk menerima dan mempertimbangkan sesuatu isu itu sebaik yang mungkin.

Titah DYMM Tuanku Mizan pada 15 Mac 2010 lalu, khususnya tentang kebiadaban dan bahasa kesat pengguna Internet, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi kebebasan media baru boleh saja dicemari dengan unsur-unsur fitnah, pembohongan, hasutan, dan prejudis yang tebal dengan sentimen perkauman.  Malah bahasa kesat dan sifat kebiadaban sedemikian telah mula menular ke dalam parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kita sudah pernah melihat tempikan ahli-ahli parlimen di dewan yang mulia seperti Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. 

sumber dipetik :
http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-3-balkanisasi-siber-gangguan.html

No comments:

Post a Comment