Tuesday 30 October 2012

Artikel 1:Kebebasan berita dan informasi siber: suatu paradoks (respon)

Perkembangan teknologi internet telah membuka satu ruang liputan yang bebas untuk segenap lapisan masyarakat dalam menghadam dan menganalisa setiap perkara yang sedang menjadi tumpuan baik dalam mahupun luar Negara. Kesannya wujud budaya fitnah, mencerca, dan lain-lain dakyah yang digunakan dalam mengeksploitasi kehebatan internet yang “berhantu” serta berpengaruh. Kebebasan siber telah dimaktubkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang mencatatkan dengan jelas bahawa “Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet (AKM 1998:3.3)”.

 Perakuan yang tuntas itu diulangi melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia. Secara individunya, kita boleh melihat kebebasan internet ini boleh dilihat daripada dua aspek. Aspek positif dan aspek negatif. Aspek positif boleh dilihat daripada keterbukaan ahli politik dan ahli akademik saling bertukar pendapat dan mencorakkan pelbagai sudut pandangan yang mematangkan arena politik negara. Akan tetapi dari sudut negatifnya pula ia seakan-akan membuka ruang tanpa dinding yang membenarkan sesiapa sahaja untuk menaburkan fitnah, membuka hal yang tidak sepatutnya dan pelbagai lagi agenda tersembunyi kesan daripada hilangnya nilai dalam menteladani kebebasan yang diberi.

 Oleh sebab itu Akta Komunikasi dan Multimedia tersebut telah dimaktubkan pada tahun 1998 ketika negara sedang berdepan dengan kancah konflik politik antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Secara umum, ramai para sarjana berpendapat bahawa AKM 1998 akan membuka ruang siber yang amat lumayan kepada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk menghamburkan serangan politik masing-masing dalam ruang yang tiada batasnya, apatah lagi dengan jaminan kebebasan yang diberikan (suara murba, 2012)

Soal yang cuba ditimbulkan disini ialah soal pengguna siber yang cuba mengeksploitasi kebebasan yang diberi tanpa akhlak dan ilmiah yang betul. Natijahnya pelbagai salah guna dan keburukkan berleluasa sehingga membawa kepada pepecahan yang jauh tersasar daripada nilai budaya ilmuan yang sebenar. Ketahuilah bahawasanya teknologi tanpa agama, teknologi tanpa budaya, teknologi tanpa panduan dan tatacara kelak akan membawa kepada kebinasaan. Sesungguhnya hanya mereka yang benar-benar mengerti akan selamat daripada fitnah tipudaya yang begitu mengelapkan hati di era ini.

No comments:

Post a Comment